GAMBIT SAIFULLAH LEBIH MEMILIH
GAMBIT SAIFULLAH LEBIH MEMILIH | Walaupun sudah lama tidak melihat lakonan aktor Gambit Saifullah di kaca televisyen, ia tidak bermakna dia merajuk dengan industri seni tempatan.
Malah jelasnya, walaupun tidak berlakon, dia masih lagi terlibat dengan beberapa program lain seperti "Fear Factor Selebriti" serta sibuk dengan syarikat produksi miliknya sendiri.
"Mungkin orang sudah lama tidak melihata saya sebagai pelakon. Memang benar sejak dua tahun lepas saya kurang mengambil tawaran berlakon drama ataupun filem.
"Bukan merajuk cuma mengambil masa untuk berehat seketika memandangkan saya sudah ada syarikat produksi sendiri yang perlu menguruskan banyak hal lain," ujarnya seperti dipetik daripada Utusan Malaysia.
Walaupun rindu untuk berlakon, Gambit mengakui watak yang ditawarkan tidak kena dengan citarasanya dan ini membuatkannya lebih memilih.
Bercerita tentang syarikat produksinya, Eighball Production yang sudah beroperasi selama lapan tahun dan menerbitkan program televisyen seperti "Hooperz" dan "Sesat", Gambit merasakan cabaran yang dihadapi sebagai penerbit sama besar dengan menjadi seorang pelakon.
"Bukan senang nak jadi penerbit memandangkan saya perlu memerah otak untuk mencari idea-idea menarik untuk diketengahkan.
"Soal peluang, ruang dan segala hal perlu diharungi dan jangan patah semangat," katanya.
Sementara itu dalam perkembangan hal peribadi, Gambit yang bakal menginjak usia 29 tahun tidak lama lagi memberitahu pertanyaan tentang perkahwinan sering diajukan kepadanya, tetapi dia menegaskan masih lagi solo dan mencari calon sesuai untuk dijadikan isteri.
"Kalau ada wanita yang benar-benar sesuai, saya akan terus meminangnya dan berkahwin. Itu janji saya pada diri. Masalahnya sampai sekarang masih belum bertemu yang sesuai.
"Kalau cakap soal memilih, memang saya memilih. Nak berkahwin bukan sehari dua tapi untuk selama-lamanya. Saya tak rasa perlu terburu-buru memilih isteri hanya untuk memuaskan hati orang lain. Yang nak hidup bersamanya saya, bukan orang lain," jelas aktor filem "Karipap Karipap Cinta" ini.
Selain daripada itu, Gambit turut memberitahu dia telah menjalani pembedahan pada bahagian lutut kerana bermain bola sepak.
0 comments :
Post a Comment