Kematian mengejut personaliti televisyen dan model Peaches Geldof pada 7 April telah menjadi tanda tanya banyak pihak sekiranya ia disebabkan pengambilan dadah berlebihan, walaupun ada yang mengatakan dia sudah 'bersih'.
Heroin sememangnya dijangka memainkan peranan dalam kematian Geldof sebelum ini memandangkan penggunaannya dikenal pasti ketika ujian peringkat awal dijalankan.
Kini tiga bulan selepas kematiannya, koroner telah mengesahkan punca kematian Geldof memang disebabkan oleh pengambilan heroin berlebihan.
Dipetik daripada laporan US Weekly, pakar patalogi Peter Jerreat berkata dalam inkues yang diadakan di Kent, England, terdapat beberapa kecederaan suntikan pada badan Geldof iaitu di siku, ibu jari dan juga pergelangan tangan.
Malah kandungan heroin dalam sistemnya berada dalam 'peringkat maut' dan saluran darahnya mengandungi methadone, codeine dan juga morfin.
Anak perempuan kepada pemuzik Bob Geldof ini telah ditemui mati oleh suaminya, Thomas Cohen yang pulang ke rumah untuk memeriksa isterinya selepas gagal menghubunginya.
"Saya menemuinya di bilik lain yang kami sering gunakan apabila anak-anak tidur," ujar Cohen.
Tambahnya lagi, Geldof telah menerima rawatan selama dua tahun untuk menangani masalah ketagihan dan dikatakan mengambil ujian dadah setiap minggu. Namun kini Cohen percaya Geldof telah menipunya tentang keputusan ujian tersebut.
Sementara itu laporan BBC mengatakan, heroin yang ditemui dalam badan Geldof adalah gred tinggi dimana keasliannya mencapai 61 peratus jika dibandingkan dengan dadah yang dijual di jalanan dimana ia hanya 26 peratus.
Kematian Geldof dikatakan tragik memandangkan ibunya, Paula Yates turut maut atas sebab yang sama pada September 2000.
Geldof dan Cohen mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Astala yang dilahirkan pada April 2012 dan Phaendra pada April 2013.

0 comments :
Post a Comment