KAKA AZRAFF TUNTUT TUNGGAKAN GAJI TIGA BULAN
KAKA AZRAFF TUNTUT TUNGGAKAN GAJI TIGA BULAN | Penyanyi Kaka Azraff mengakui dirinya masih belum menerima sebarang bayaran daripada syarikat pengurusannya Wire Fame Entertainment sehingga kini yang sudah tertunggak selama tiga bulan.
Aidilfitri yang bakal menjelang tiba pastinya memerlukan sejumlah wang bagi melakukan persiapan menyambut lebaran dan Kaka berharap agar isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin bagi mengelakkan kemelut ini berpanjangan.
"Bayaran masih belum dibuat oleh syarikat. Bayaran tersebut meliputi gaji kami sejak Mei lalu. Saya harap masalah ini dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat memandangkan kami pun akan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi," ujarnya seperti yang dipetik dari laporanUtusan Malaysia.
Sudah pun membuat laporan polis pada 25 Jun lalu, Kaka menjelaskan dirinya tidak berdendam dengan rakan duetnya iaitu Zizan Razak atas tindakannya yang membekukan akaun syarikat.
"Saya tidak berdendam atau membenci dia tetapi membenci tindakannya. Saya baik dan rapat dengan dia cuma terkilan kerana dia kawan kami.
"Sebagai seorang pengarah syarikat, dia perlu profesional dan berfikir lebih bijak sebelum membuat sesuatu tindakan seperti ini," jelasnya.
Dalam perkembangan seni kerjayanya, Kaka bakal muncul dengan single solo pertamanya berjudul "Terpulanglah" yang akan dikeluarkan selepas Aidilfitri nanti.
Menyentuh mengenai aktivitinya di bulan Ramadan, Kaka memberitahu dirinya sibuk membantu ibunya menghasilkan biskut raya untuk dijual.
"Biskut ini digelar Spry, cukup unik kerana dibuat dengan lemak sayur. Tahun ini baru kami nak cuba jual. Sambutannya buat masa ini Alhamdulillah dan hanya menanti untuk diagihkan sahaja," katanya.

0 comments :
Post a Comment