
EMOSI RAJA ILYA TERGANGGU KERANA SERING MARAH-MARAH | Terkenal dengan watak-watak antagonis menerusi drama bersiri ‘Dahlia’ dan ‘Tiara’, pelakon Raja Ilya sekali lagi membawakan watak jahat dalam telenovela baru lakonannya, ‘Cinta Ibadah’. Menerusi drama bersiri yang bakal ditayangkan lebih 100 episod ini, Ilya mengakui emosinya terganggu.
“Sejujurnya, memegang watak antagonis kali ini memang menggangu emosi saya. Lagi-lagi apabila durasi penggambaran drama ini yang sungguh lama kerana bakal disiarkan lebih 100 episod. Saya sudah mula menjalani penggambaran telenovela ini semenjak bulan Februari lalu dan penggambarannya masih bersambung sehingga kini.
Saya berikan perumpamaan, jika ada 100 babak dalam telenovela ini, hampir 90 peratus semuanya pasti akan ada babak-babak yang memerlukan saya marah dan meninggikan suara. Kadangkala menjejaskan kesihatan saya sehingga saya demam dan hilang suara. Kadang-kadang ada babak marah yang saya lakukan dengan ‘all out’, tapi apabila selesai sahaja, saya terus menggigil. Namun begitu, saya gembira dapat memegang watak ini dan bangga apabila diberi kepercayaan untuk menjayakan telenovela ini,” ujar Ilya.
Dalam pada itu, Ilya juga mendedahkan yang dia ada menolak tawaran untuk menjayakan watak dalam sebuah filem demi telenovela ini.
“Disebabkan penggambaran telenovela ini agak lama, saya terpaksa menolak tawaran untuk menjayakan sebuah filem. Namun begitu, saya sempat juga mengambil tiga tawaran telefilem untuk sambutan Hari Raya lepas. Walaupun terlepas beberapa tawaran, saya harap apa yang saya lakukan untuk telenovela ini akan memberikan pulangan yang berbaloi iaitu peminat-peminat di luar sana dapat menerima watak saya dalam telenovela ini,” kata Ilya lagi.
“Saya pasti bila orang melihat lakonan saya dalam telenovela ini, orang akan membenci saya. Saya sendiri yang melihat semula lakonan saya pun menyampah, apatah lagi orang di luar sana. Jika dahulu saya risau apabila selalu mendapat tawaranw atak antagonis, kini saya boleh katakan yang saya sudah mula selesa dengan karakter sebegini,” kata Ilya lagi.
Selain Ilya, telenovela ‘Cinta Ibadah’ dibintangi oleh Aishah Ilias, Fattah Amin, Sherry Ibrahim dan ramai lagi. Bakal disiarkan pada 8 September 2014, telenovela ini bakal disiarkan menerusi beberapa saluran Astro.
0 comments :
Post a Comment