JUE AZIZ BERSYUKUR SEGALA SPEKULASI TERJAWAB | Pelakon Jue Aziz atau nama sebenarnya Zuliana Abd Aziz melahirkan rasa syukur apabila Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada minggu lalu memutuskan pernikahannya dengan pemuzik dari Indonesia, Bayu Pramana Putra Achmal sah dan mengikut hukum syarak.
Bintang utama filem ‘Hantu Bonceng’ ini ketika dihubungi memberitahu dia bersyukur kerana keputusan mahkamah itu sedikit sebanyak dapat menutup mulut masyarakat yang sebelum ini membuat pelbagai spekulasi kononnya dia kahwin lari dan bernikah di sempadan.
“Syukur Alhamdulillah semuanya dah sah dan semua ini berkat doa daripada keluarga. Saya bukan berniat mahu sorok perkahwinan kami kerana jika orang tanya saya akan kongsi kepada mereka. Namun bagi saya, apa yang lebih penting adalah perkara wajib antara saya dengan Allah dan itu adalah lebih berkat,” tutur Jue tidak kisah dengan tanggapan masyarakat terhadap perkahwinannya dengan gitaris kumpulan DV8 itu.
“Keputusan mahkamah ini sedikit sebanyak dapat menjawab tentang segala spekulasi yang bukan-bukan tentang perkahwinan kami berdua sebelum ini. Mungkin selama ini ramai yang buat spekulasi sebab mereka tak tahu bagaimana pernikahan saya dijalankan. Lagipun saya sendiri tak pernah keluarkan gambar kahwin, jadi orang di luar sana fikir saya kahwin di sempadan.

Biasalah semua orang ada kelemahan masing-masing dan saya tak kisah pun apa semua orang nak cakap sebab lumrah manusia memang tak boleh nak tutup mulut mereka. InsyaAllah saya akan kongsi gambar kahwin saya selepas ini untuk buktikan kepada semua yang saya berkahwin mengikut syariat. Lagipun, kedua ibu bapa saya pun turut ada semasa majlis pernikahan kami,” ujar Jue lagi.
Pasangan ini mula berkenalan pada akhir tahun lalu di Hard Rock Cafe Pulau Pinang dan selepas empat bulan berkenalan, Bayu kemudian melamar Jue pada ulangtahun kelahirannya yang ke-31 pada Februari tahun ini. Pasangan ini kemudiannya membuat keputusan bernikah pada 9 Mac 2014 di kampung halaman Bayu di Makassar, Indonesia.
Berkongsi mengenai kehidupannya selepas bergelar isteri, Jue mengakui berasa gembira dan bertuah dapat mengenali suaminya itu. Menurut Jue, suaminya tidak kisah jika dia mahu aktif dalam dunia lakonan dan sangat menyokong kerjaya seni Jue. Ketika dihubungi, Jue turut memberitahu mereka masih dalam perancangan untuk mengadakan majlis resepsi pada tahun hadapan.

“Alhamdulillah, memang satu anugerah dan nikmat apabila menjadi suami isteri yang sah. Sekarang ini barulah sempurna dalam keluarga saya sebab saya pun dah ada anak angkat, Darwish Naufal yang bakal memasuki usia dua tahun pada September ini, jadi lengkaplah keluarga kami sekarang.
Mengenai majlis resepsi, InsyaAllah ibu saya memang nak buat sangat majlis tersebut sebab saya pun anak bongsu, jadi kiranya sebagai penutup dalam keluarga kami. Tapi buat masa ini kami tak rancang apa-apa lagi sebab saya pun tengah sibuk sekarang. Lagipun, bukan senang nak buat majlis resepsi di Kuala Lumpur sebab nak kena tempah dewan dan sebagainya. Namun, InsyaAllah kami rancang nak buat tahun depan,” ujar Jue mengakhiri perbualan.
0 comments :
Post a Comment