
MELLY GOESLOW LEBIH TENANG BERIMEJ MUSLIMAH | KUALA LUMPUR 14 OGOS 2014: Penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw akui lebih yakin dan tenang selepas membuat keputusan untuk tampil berhijab walaupun pada mulanya berasa agak malu dan takut sekiranya mendapat persepsi negatif daripada orang sekeliling.
Melly berniat untuk berhijab kira-kira 3 tahun yang lalu untuk berimej muslimah namun keyakinannya masih belum kuat dan belum terasa di hatinya ingin berbuat demikian.
“Saya benar-benar yakin untuk ‘berkerudung’ pada 3 bulan yang lalu setelah pulang dari umrah, ketika tibanya di Indonesia, di hati saya berkata sudah tiba masanya untuk berimej sebegini dan yakin kepada takdir Allah,” katanya ditemui Murai di Majlis Pelancaran Lagu Tema Drama Terbaru Astro ‘Cinta Dan Ibadah’ di ibu negara.
Menurutnya lagi, dengan imej muslimah ini dia akan tampil lebih bersederhana dan berhati-hati dengan pergaulannya.
Suaminya Anto Hoed memberi sokongan penuh dan bersyukur dengan keputusan isterinya untuk berhijab.
Dalam pada itu, Melly turut memberi penjelasan, dengan imej terbarunya, karya muziknya akan lebih ke arah kerohanian dan keislaman terutama dalam penghasilan lirik lagu.
“Muzik ‘dance’ akan saya tinggalkan, bait-bait lagu yang lebih harmoni dan islamik lebih diberi penekanan bersesuaian dengan imej saya ini,” ujarnya
Melly akan terus berkarya dalam bidang muzik dan merasakan muzik itu adalah satu budaya yang boleh menyatukan perasaan, hati dan cinta. Kreativiti yang tinggi perlu ada dalam diri seorang komposer.
Perkembangan lain, Melly dalam proses mengumpul ‘material’ baru untuk hasilkan album baru. Perbincangan bersama tenaga kerja Melly sedang diteruskan agar mendapat karya yang baik bersesuaian dengan imejnya ini.
0 comments :
Post a Comment