Di kala menyambut lebaran pastinya aktiviti harian anda dipenuhi dengan berkunjung ke rumah saudara mara mahupun sahabat handai.
Dalam kegembiraan meluangkan masa bersama mereka, tidak salah jika anda mengajak mereka bersama menonton wayang di pawagam yang berdekatan.
Aidilfitri 2014 menyaksikan beberapa filem tempatan bakal ditayangkan dan di antaranya adalah:
Mat Tudung
Bagi penggemar filem komedi romantik, "Mat Tudung" wajib menjadi pilihan anda di kala menonton wayang. Filem yang dibarisi pelakon hebat seperti Fizz Fairuz, Nelydia Senrose, Izzue Islam, Harun Salim Bachik dan ramai lagi ini mengisahkan tentang seorang mat rempit bernama Johari yang telah jatuh cinta kepada seorang gadis berhijab bernama Zizie.
Bagi memikat Zizie, Johari sanggup menyamar sebagai seorang wanita bertudung bernama Johanna. Saksikan aksi dan telatah lucu suami kepada aktres Almy Nadia ini memakai tudung di dalam "Mat Tudung"!
Tembus
Jika anda inginkan sebuah filem yang ngeri dan penuh dengan adegan mendebarkan, "Tembus" seharusnya berada dalam senarai teratas filem yang ingin anda tonton! Filem sulung lakonan aktres terkenal Indonesia, Luna Maya di arena filem tempatan wajar diberi perhatian kerana membawa watak sebagai seorang wanita psiko.
Bergandingan bersama aktor popular Aaron Aziz, Nur Fazura, Khir Rahman, Eizlan Yusof dan Mia Sara Nasuha, filem ini menampilkan kisah sepasang suami isteri yang kehilangan anak tunggal perempuan mereka secara tiba-tiba. Adakah anak mereka telah diculik oleh musuh yang ingin membalas dendam terhadap mereka?
Adnan Sempit Sawadikap
Peminat filem sekuel "Adnan Sempit" pastinya teruja dengan kehadiran filem terbaru "Adnan Sempit Sawadikap" yang akan ditayangkan pada 7 Ogos nanti. Kelainan bakal ditonjolkan kali ini dengan mengambil latar tempat di sekitar bandar Bangkok, Thailand.
Selain mengekalkan wajah pelakon sama iaitu Shaheizy Sam, Intan Ladyana, Along Cham dan Yana Samsudin, filem terbitan Metrowealth ini turut menampilkan seorang aktres Thailang bernama Lalisa Sontirod. Sekuel terakhir ini menumpukan jalan penceritaannya kepada kisah kehilangan anak Adnan yang dipercayai telah diculik oleh seorang wanita Thailand bernama Nok.
Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa
Bertemakan komedi seram, filem ini bakal memeriahkan lebaran anda dengan lakonan pelawak-pelawak baru dan lama tempatan iaitu Fad, Acey, Abam, Epy Raja Lawak dan Yassin. Filem ini mengisahkan tentang tiga sekawan iaitu Rudy, Akhir dan Remy yang tinggal bersama di rumah sewa Pak Cik Osman Basah.
Kehidupan mereka yang aman dan damai mula bertukar seram apabila salah seorang daripada rakan mereka telah meninggal dunia di rumah sewa berkenaan. Siapakah yang telah meninggal dunia dan apa sebenarnya yang berlaku? Nantikan kesudahan filem ini bermula 14 Ogos nanti!
Jin
Pengarah muda hebat Pierre Andre sekali lagi membawakan kepada penonton dengan buah tangan terbarunya berjudul "Jin". Filem yang menampilkan Zul Ariffin, Mon Ryanti, Harun Salim Bachik, Zarynn Min dan Naufal Imam Muda ini mengisahkan kehidupan suami isteri yang bernama Syafiq dan Lily.
Merupakan seorang peniaga yang berusaha meningkat taraf hidup keluarga, Syafiq telah membelikan sebuah rumah yang besar dan cantik khas buat isteri tersayang. Namun mereka tidak tahu ada sejarah hitam yang pernah terjadi dan masih kekal pada rumah tersebut. Ingin tahu apa yang berlaku seterusnya? Saksikan filem ini pada 21 Ogos nanti.






0 comments :
Post a Comment