Selepas dua tahun tidak muncul dengan filem atau drama televisyen, aktor Fizo Omar akui merindui bidang lakonan dan bakal kembali aktif semula.
Dipetik daripada laporan mStar, aktor berusia 29 tahun ini berkata, "Sejujurnya memang saya rindukan dunia lakonan kerana itulah permulaan yang membawa kepada siapa saya hari ini. Tetapi kesibukan menguruskan perniagaan membuatkan saya terpaksa menolak tawaran yang datang.
"Bagaimanapun InsyaAllah selepas sambutan Hari Raya, saya akan kembali aktif sebagai pelakon kerana sudah lama tidak muncul di televisyen."
Kali terakhir Fizo muncul dalam sebuah drama bersiri "Surat Dari Langit Biru" adalah pada awal tahun lalu.
Pemilik nama sebenar Wan Hafizol Wan Omar ini turut memberitahu buat masa ini dia akan menerima tawaran yang hanya mengambil masa kurang dari dua bulan kerana bimbang tidak dapat memberi komitmen, sekaligus akan menyusahkan mana-mana pihak.
"Saya bukannya demand terhadap jangka masa sesuatu penggambaran tetapi demi tidak menyusahkan mana-mana pihak, lebih baik saya tidak ambil projek yang lebih daripada dua bulan.
"Ini kerana saya bimbang tidak dapat beri komitmen kerana saya mempunyai tanggungjawab terhadap perniagaan lain yang saya usahakan," ujarnya lagi.
Fizo kini sibuk menguruskan perniagaan Hot Burger yang telah berkembang kepada 150 gerai di lima buah negeri serta menjalankan tugas sebagai Ketua Bahagian Pemasaran Fareeda Global Resources.

0 comments :
Post a Comment